Lagenda Asal Usul Keturunan

    Orang-orang Kadazan mempercayai bahawa nenek-moyang mereka berasal dari satu tempat bernama Nunuk Ragang.Nunuk Ragang adalah bahasa Kadazan yang bermakna "Pohon Ara berwarna merah". Tempat itu terletak di Tampias iaitu suatu kawasan di hulu Labuk yang pada masa sekarang terletak di Daerah Ranau.

    Di tempat itu terdapat dua buah sungai (Sungai Liwagu dan Sungai Gelibang) yang mengalir ke arah timur Ranau dan Tambunan. Sungai-sungai ini memainkan peranan penting sebagai laluan penting perpindahan beramai-ramai orang-orang Kadazan ke seluruh pelusuk tempat di Negeri Sabah kemudiannya.

    Menurut cerita orang-orang tua suku kaum Kadazan, pokok itu adalah sebesar enam depa lingkungan tangan memeluk dan daun-daunnya yang merimbun dapat melindungi di bawahnya sebanyak tujuh buah pondok orang-orang Kadazan dahulukala yang berukuran 240 kaki persegi.

    Saban hari nenek-moyang mereka dikatakan bermandi-manda di dua buah sungai itu dan kemudiannya memanjat Pokok Ara Merah itu serta duduk menjemurkan diri di atas dahan-dahannya. Akar pokok itu dikatakan mengeluarkan sejenis getah berwarna merah yang dapat menyembuhkan berbagai jenis penyakit.

    Pada mulanya nenek-moyang mereka hidup bebas dan menikmati limpahan rezeki yang ada di sekeliling mereka. Tetapi lama-kelamaan apabila penduduk di tempat itu semakin ramai dan bertambah sesak serta pencarian makanan bertambah sukar, ketua mereka telah memerintahkan pahlawan-pahlawannya pergi mengembara dan mencari kawasan-kawasan penempatan baru yang lebih sesuai dan mempunyai sumber makanan yang banyak. Sekembalinya pahlawan-pahlawan itu, mereka telah menceritakan tentang penemuan-penemuan mereka. Dan dengan itu, berlakulah penghijrahan secara beramai-ramai dan dalam beberapa kumpulan yang diketuai oleh pahlawan-pahlawan itu yang menyebabkan terjadinya pemisahan dan penyelerakan orang-orang Kadazan sepertimana yang ada pada masa sekarang.